Sebagai seorang usahawan, anda pasti akan selalu terjumpa dengan banyak peluang perniagaanyang dapat disesuaikan dengan perniagaan utama yang anda jalankan sekarang ini. Walaupun peluang perniagaan yang diwar-warkan kepada anda menjanjikan pelbagai bentuk pulangan yang sangat lumayan, anda wajib berhati-hati supaya tidak mudah ditipu.
Walaupun kebanyakkan peluang perniagaan yang wujud dan tumbuh pada masa ini adalah peluang perniagaan yang sah, namun terdapat juga mereka yang ingin mengambil kesempatan keatas anda dan perniagaan anda dengan menawarkan peluang perniagaan yang palsu. Ada pelbagai cara dan taktik untuk mereka mempengaruhi anda supaya mempercayai peluang perniagaan yang mereka tawarkan.
1. Periksa kelayakan mereka yang menawarkan peluang perniagaan.
Ini adalah langkah pertama yang anda harus lakukan sekiranya mendapat sebarang tawaran peluang perniagaan dari mana-mana pihak. Anda tidak boleh terlalu mudah dengan mempercayai seseorang yang anda tidak kenali malah mendakwa mempunyai kelayakan, kemahiran dan kelayakan untuk meyakinkan anda. Anda perlu siasat dengan teliti, teruskan siasatan anda sehingga anda selesa untuk bekerja dengannya.
2. Lawat ibu pejabat syarikat berkenaan.
Apabila sesuatu peluang perniagaan yang ditawarkan kepada anda dan ianya melibatkan sejumlah pelaburan yang besar, perkara yang anda patut titik beratkan juga ialah syarikat mereka yang menawarkan peluang perniagaan kepada anda. Luangkan sedikit masa anda untuk melawat syarikat mereka dan sekiranyan pihak yang menawarkan peluang perniagaan tersebut seperti keberatan atau tidak mahu anda melawat ibu pejabat mereka, maka ianya suatu petanda yang mana peluang perniagaan tersebut mungkin suatu peluang yang palsu.
3. Semak sijil pendaftaran dan dokumen pengesahan syarikat.
untuk mendapatkan sijil pendaftaran syarikat atau memeriksa lesen syarikat, anda boleh dapatkan pengesahan daripada jabatan atau suruhanjaya yang berkaitan. Selain itu, anda juga boleh meminta dokumen pengesahan daripada pihak syarikat. Sekiranya tiada pengesahan yang sah atau dokumen syarikat tidak menepati dan tidak dapat meyakinkan anda, berhati-hatilah kerana ianya merupakan suatu petanda ianya sebuah peluang palsu.
4. Siasat orang utama atau ‘key people’ dalam syarikat berkenaan.
Beberapa persoalan boleh anda timbulkan untuk menyiasat orang utama dalam sesebuah syarikat yang menawarkan peluang perniagaan kepada anda.
a. Adakah mereka mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan?
b. Pernahkan mereka menawarkan peluang-peluang perniagaan lain sebelum ini? Jika ya, mengapa peluang tersebut tidak ditawarkan lagi?
Jika terdapat sebarang kesangsian atau keraguan terhadap key poeple dalam syarikat tersebut atau mereka mempunyai rekod tidak bersih, kemungkinan besar untuk anda ditawarkan peluang palsu adalah tinggi. Sekali lagi kami nasihatkan, berhatihati.
5. Dapatkan maklumat daripada mereka yang pernah ataupun sedang terbabit dalam peluang perniagaan tersebut.
Jika ramai orang ataupun anda mendapat maklumat dan feedback positif daripada mereka yang telah atau sedang terbabit dalam peluang perniagaan tersebut dan ianya berjaya dalam jangka masa panjang, maka ianya suatu petanda baik bagi anda.
6. Pastikan terdapat suatu program latihan yang tersusun.
Pastikan syarikat yang menawarkan peluang perniagaan kepada anda juga turut menyediakan program latihan yang tersusun bagi melatih mereka yang bergiat aktif dalam peluang perniagaan yang ditawarkan. Ini bagi memudahkan anda mencapai kejayaan dalam peluang perniagaan tersebut. Jika peluang perniagaan berkenaan membabitkan penggunaan kelengkapan tertentu, pastikan kelengkapan tersebut mudah didapati dan harganya tidak terlalu mahal.
7. Berhati-hati dengan sebarang bentuk gesaan atau paksaan.
Anda perlu berhati-hati dengan sebarang bentuk gesaan atau paksaan yang dilakukan oleh pihak yang menawarkan peluang perniagaan kepada anda. Mereka mungkin akan mempengaruhi psikologi anda supaya terpengaruh dengan gesaan mereka. Awas sekiranya mereka berkata “Jika anda tidak merebut peluang ini sekarang, anda akan rugi” atau secara lebih kasarnya, “Anda mesti melabur dalam peluang perniagaan ini sekarang juga.” Sebarang bentuk gesaan mungkin bertujuan untuk mendorong anda membuat pelaburan, anda mungkin terlewat jika termakan dengan gesaan yang mereka buat.
Kesimpulannya, sebelum anda melabur atau melibatkan diri dalam sebarang bentuk peluang perniagaan lakukan kajian terlebih dahulu terhadap peluang perniagaan yang anda terima. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian sudah tidak berguna lagi.